Friday, December 24, 2010

Hubunga Iman, Islam Dan Syahadatain

Pengertian Islam

Islam tidak boleh disamakan dengan mana-mana agama. Ini kerana agama menurut fahaman manusia hanya hubungan antara manusia dan kuasa ghaib dan lebih bersifat ritual semata-mata. Islam bukan bersifat ritual tetapi ia adalah ad-Deen merangkumi keseluruhan lapangan hidup manusia; yang terkandung di dalamnya soal aqidah, amalan dan hukum-hakam berhubungan dengan rohani dan jasmani, fardhiyyah dan jama’iyyah, politik, perundangan dan segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami bangkitkan pada setiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri, dan Kami datangkan engkau (Muhammad) menjadi saksi atas mereka. Dan Kami turunkan Kitab (Al-Quran) kepadamu untuk menjelaskan segala sesuatu, sebagai petunjuk, serta rahmat dan khabar gembira bagi orang yang berserah diri (muslim).” (Surah An-Nahl: ayat 89)

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan (daging) haiwan yang disembelih bukan atas (nama) Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih. Dan (diharamkan pula) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan pula) mengundi nasib dengan azlam (anak panah) (kerana) itu suatu perbuatan fasik. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu. Tetapi barangsiapa terpaksa kerana lapar bukan kerana ingin berbuat dosa, maka sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Al-Maidah: ayat 3)

Ini juga dapat dijelaskan melalui takrif Islam yang dikemukakan oleh ulama’ berdasarkan Al-Quran dan as-Sunnah:

1. Islam bererti tunduk dan menyerah diri kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud:

“Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah, padahal apa yang di langit dan di Bumi berserah diri kepada-Nya, (baik) dengan suka mahupun terpaksa, dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan?” (Surah Ali-‘Imran: ayat 83)

“Dan barangsiapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.” (Surah Ali-‘Imran: ayat 85)

2. Islam adalah Nizam (peraturan) yang lengkap bagi mengatur kehidupan manusia dan menjadi dasar kepada akhlak, disampaikan kepada manusia serta memberitahu siapa yang mengikut mendapat pahala dan yang menentang, sebaliknya. Firman Allah dalam Surah Ali-‘Imran ayat 85. Maksudnya:

“Dan barangsiapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.”

3. Islam adalah kumpulan peraturan yang terkandung di dalamnya yang berbentuk aqidah, akhlak, muamalat dan segala berita yang disebutkan di dalam Al-Quran dan as-Sunnah.

“Wahai Rasul! Sampaikanlah apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu. Jika tidak engkau lakukan (apa yang diperintahkan itu) bererti engkau tidak menyampaikan amanat-Nya. Dan Allah memelihara engkau dari (gangguan) manusia. Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir.” (Surah Al-Maidah: ayat 67)
Islam ialah keseluruhan ad-Deen yang terkandung di dalamnya perkara berhubung dengan aqidah, amalan dan hukum. 
 
 
4.1 Makna ad-Deen (pertama): Pembalasan.

Firman Allah yang bermaksud:

“dan sungguh, (hari) pembalasan pasti terjadi.” (Surah Az-Zaariyat: ayat 6)

4.2 Makna ad-Deen (kedua): Ibadah dan Penyembahan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah,“Tuhanku menyuruhku berlaku adil. Hadapkanlah wajahmu (kepada Allah) pada setiap solat, dan sembahlah Dia dengan mengikhlaskan ibadah semata-mata hanya kepada-Nya. Kamu akan dikembalikan kepada-Nya sebagaimana kamu diciptakan semula. ” (Surah Al-A’raf: ayat 29)

4.3 Makna ad-Deen (ketiga): Undang-undang dan Hukum.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka mulailah dia(memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan (piala raja) itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami mengatur (rencana) untuk Yusuf. Dia tidak dapat menghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah menghendakinya. Kami angkat darjat orang yang Kami kehendaki; dan di atas setiap orang yang berpengetahuan ada yang lebih mengetahui. ”

(Surah Yusuf: ayat 76)
Islam dengan makna menyerah diri secara zahir sahaja sekalipun dengan tidak ada iman di dalam hati. Islam seperti ini tidak memberi apa-apa faedah kepada penganutnya. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 14:

Maksudnya:

Orang-orang Arab Badwi berkata, “Kami telah beriman.” Katakanlah (kepada mereka), “Kamu belum beriman, tetapi katakanlah `Kami telah tunduk (Islam),’ kerana iman belum masuk ke dalam hatimu. Dan jika kamu taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia tidak akan mengurangi sedikit pun (pahala) amalmu. Sungguh, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Islam merupakan jawapan yang tepat kepada tiga pertanyaan yang dikemukakan kepada setiap manusia sejak dari dulu hingga sekarang iaitu:

6.1 Dari mana dia datang?

“Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dari saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami menjadikannya air mani (disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian, air mani itu Kami jadikan sesuatu yang melekat, lalu sesuatu yang melekat itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang-belulang, lalu tulang-belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami menjadikannya makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah pencipta yang paling baik.” (Surah Al-Mukminun: ayat 12-14)

“Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apa dia diciptakan. Dia diciptakan dari air (mani) yang terpancar, yang keluar dari tulang punggung (sulbi) dan tulang dada.” (Surah At-Thariq: ayat 5-7)

6.2 Mengapa ia dijadikan?

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Az-Zaariyat: ayat 56)

6.3 Ke mana dia dikembalikan?

“Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemui-Nya.” (Surah Al-Insyiqaaq: ayat 6)

“Allah yang memulai penciptaan (makhluk), kemudian mengulanginya kembali; kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan. ” (Surah Al-Ruum: ayat 11)
Islam merupakan penghayatan sebenar bagi manusia. Ia cahaya petunjuk dalam kehidupan, ubat mujarab untuk mengatasi dan memperbaiki masyarakat serta jalan sebenar yang tidak akan sesat kepada sesiapa yang mengikutinya. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 82 bermaksud:

“Dan Kami turunkan dari al-Quran (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (al-Quran itu) hanya akan menambah kerugian.”


Pengertian Iman:

Tasdiq (membenarkan) di dalam hati apa yang diketahuinya yang datang dari Allah dan Rasul serta diakui dengan lidah dan dibuktikan dengan amalan.

Tasdiq mestilah menerima dugaan dengan redha terhadap semua perkara, tidak ada engkar, ragu serta tidak menjuzuk-juzukkan hanya ibadah khusus sahaja seperti solat, puasa, zakat, menolong orang, bercakap benar, berakhlak mulia tetapi menolak soal politik Islam, undang-undang Islam, pemerintahan Islam, dan lain-lain lagi. Firman Allah yang bermaksud:

“Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap utusan yang mereka berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (Surah An-Nisa’: ayat 65)

“Sesungguhnya orang-orang mukmin yang sebenarnya adalah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kemdian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta dan jiwanya di jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.” (Surah Al-Hujurat: ayat 15)

Apabila diperkatakan tentang iman, maka ia tidak boleh berpisah dengan amal kerana amal itu hasil daripada keimanan dan iman tidak sempurna tanpa amal.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal, (iaitu) orang-orang yang melaksanakan solat dan yang menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka akan memperoleh darjat (tinggi) di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.” (Surah Al-Anfal: ayat 2-4)

Iman menjadi tidak sah jika apa yang ditasdiqkan itu tidak menepati kehendak syara’ seperti manusia yang beriman dengan Allah dan dalam masa yang sama beriman dengan Thogut. Thogut ialah apa-apa sahaja sama ada nafsu, perempuan, pangkat, kekuasaan yang menjadikan seseorang itu memuja, bersungguh-sungguh memperjuangkannya dan mempertahankannya termasuk ‘isme’ atau fahaman ciptaan manusia.

Contoh:
Kaum Luth menjadikan nafsu sebagai matlamat hidup sehingga mengetepikan soal haram perhubungan antara lelaki dengan lelaki.
Zaman Nabi Musa a.s. kaum waktu itu mengangkat dan mempercayai Firaun sebagai Tuhan mereka.
Zaman awal Nabi Muhammad S.A.W. di mana Abu Jahal dan Abu Lahab walaupun mengakui Muhammad itu benar tetapi tetap tidak mengikuti ajaran baginda Rasulullah S.A.W. Ini kerana mereka risaukan kekuasaan mereka akan tergugat, soal haram seperti arak, judi dan zina tidak boleh mereka lakukan lagi.
Zaman moden ini, manusia menjadikan fahaman ciptaan manusia seperti kapitalisme, sekularisme, komunisme, nasionalisme sebagai sesuatu yang diagung-agungkan dan dipertahankan termasuk di negara-negara umat Islam lain.

Keseluruhan contoh thogut di atas dilaknat oleh Allah S.W.T berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“Tidakkah engkau memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada Jibt dan Thogut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Makkah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya daripada orang-orang yang beriman. Mereka itulah orang-orang yang dilaknat Allah. Dan barangsiapa dilaknat Allah, nescaya engkau tidak akan mendapatkan penolong baginya.” (Surah An-Nisa’: ayat 51-52)

“Tidakkah engkau (Muhammad) memperhatikan orang-orang yang mengaku bahawa mereka telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu? Tetapi mereka masih menginginkan ketetapan hukum kepada Thogut, padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari Thogut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) kesesatan yang sejauh-jauhnya.” (Surah An-Nisa’: ayat 60)


Pengertian Syahadatain:

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:

Sesiapa yang bersyahadah bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah satu sahaja, tidak menyekutukannya dan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah hamba dan RasulNya, bahawa Nabi Isa hamba Allah serta RasulNya. Rohnya dicampakkan ke dalam diri Maryam, syurga dan neraka itu benar dan akan dimasukkan oleh Allah, siapa yang dikehendakiNya.

Syahadataian adalah merupakan asas yang terpenting sekali bagi tertegaknya Islam secara menyeluruh. Islam tidak tertegak jika tidak tertegak rukun-rukunnya dan tidak tertegak rukun-rukun yang empat itu jika tidak sempurna syahadatain, bahkan tidak ada Islam sebelum adanya syahadatain. Ia adalah lambang jiwa Islam yang syumul. Setiap amalan atau ibadah orang Islam yang tidak kerananya, diibaratkan seperti menanam benih yang mati. Oleh itu, sebarang amalan kebajikan orang-orang kafir tidak ada harga di sisiNya umpama debu yang berterbangan. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Kami akan memperlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami akan jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan: ayat 23)

Apabila seseorang Muslim berkata “La ilahaillallah” seolah-olah dia berkata “Tiada tempat memerlukan ketenangan, ganjaran, kasih-sayang dan pujian, tiada kekuasaan dan tempat yang hendak dicurahkan segala ketaatan, segala kebesaran, segala kesua’an melainkan ALLAH”. Ini menunjukkan taabudi yang tinggi dan keimanan yang hak, tidak ada yang mampu menggoncangkan atau menggugah keyakinan. Oleh itu, bertawakal kepada-Nya adalah wajib, memohon harapan selain daripadanya adalah batal. Kasih kepada-Nya adalah wajib, kasih kepada yang lain daripada-Nya tidak boleh kecuali dengan izin-Nya. Segala hubungan ibadah dan penyembahan tidak boleh dilakukan melainkan kepada-Nya. Dialah satu-satunya Raja, tidak boleh taat selain dari-Nya.

Dialah juga pembuat undang-undang (Syari’at), tidak ada kekuasaan ke atas undang-undang itu melainkan Dia. Sebab itulah mana-mana kerajaan atau pemerintah yang mengambil dan melaksanakan undang-undang selain Syari’at Islam dalam keadaan mempunyai kekuasaan, kemampuan serta berkeyakinan undang-undang yang ada adalah lebih baik, hukumnya adalah Syirik.

Pasti tidak dapat ditegakkan kalimah “La ilahaillallah” itu kecuali lebih dahulu mengetahui Rasul-Nya kerana Rasul-Nya yang menunjukkan jalan bagi mentahqiqkan kebesaran Allah. Jika tanpa jalan dan petunjuk dari Rasul di dalam mentauhidkan Allah, nescaya kita akan menemui jalan buntu dan berada dalam kesesatan.

Penegasan tentang konsep syahadatain yang berkait rapat dengan Iman dan Islam itu perlu kerana ada manusia yang tunduk kepada tuhan-tuhan palsu sepertimana:

Firman Allah dalam Surah Al-Jaasiyah ayat 23 yang bermaksud:

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengatahuan-Nya, dan Allah telah mengunci pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang mampu memberinya petunjuk setelah Allah (membiarkannya sesat)? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”

Firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 31 yang bermaksud:

“Mereka menjadikan orang-orang alim (Yahudi), dan rahib-rahibnya (Nasrani) sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga) Al-Masih putra Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada tuhan selain Dia. Maha Suci Dia dari apa yang mereka persekutukan.”

Mereka tunduk kepada nafsu, akal, ideologi-ideologi atau sistem buatan manusia sebagai lebih tinggi dari Allah S.W.T.


Implikasi Mengucap Syahadatain

Pengisytiharan tentang Tauhid Allah dan kerasulan Muhammad S.A.W. membawa implikasi supaya manusia tunduk mengabdikan diri kepada-Nya dan mengikuti petunjuk Rasul-Nya. Perhatikan peringatan dari Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 36.

“Dan tidaklah pantas bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh, dia telah tersesat, dengan kesesatan yang nyata.”

Sesungguhnya Islam itu sudah lengkap diturunkan dan ia sudah menggariskan prinsip-prinsip asas dan hukum-hakam yang diperlukan oleh manusia untuk menjalankan kehidupan di muka bumi. Golongan muslimin sudah tidak ada pilihan lain dalam mencari panduan hidup melainkan apa yang sudah termaktub dalm Al-Quran dan as-Sunnah. Allah telah mensyari’atkan atau menghukumkan apa yang wajib ada pada individu atau kelompok muslimin dari segi ‘iktikad, fikrah dan amalan mereka. Barangsiapa yang mengambil lain daripada apa yang telah disyariatkan atau mencampur-adukkan sesuatu dengan Islam, mereka seakan-akan mengatakan Allah itu tidak kamil dan syariat-Nya tidak sempurna padahal Allah telah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 3:

Maksudnya:

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan (daging) haiwan yang disembelih bukan atas (nama) Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih. Dan (diharamkan pula) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan pula) mengundi nasib dengan azlam (anak panah) (kerana) itu suatu perbuatan fasik. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu. Tetapi barangsiapa terpaksa kerana lapar bukan kerana ingin berbuat dosa, maka sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

No comments: